Sabtu, 14 November 2009

Pengetian Anak Yatim

ANAK YATIM



Kematian ibu atau bapa akan menyebabkan anak-anak merasa kekosongan dalam diri mereka. Hilangnya belaian kasih sayang dari orang tua serta tempat untuk berlindung menjadikan anak-anak ini dihantui perasaan sedih. Selain kehilangan kasih sayang, keperluan hidup mereka juga tidak lagi seperti sebelumnya. Makan, minum, pakaian dan lain-lain juga turut berubah seiring dengan pemergian yang tersayang. Realiti kehidupan masyarakat hari ini menunjukkan bahawa kebanyakan anak yatim yang tidak mendapat perhatian sewajarnya akan mengharungi kehidupan yang begitu sukar, perit dan menyedihkan. Umum mengetahui bahawa Islam adalah satu agama yang menitikberatkan soal kasih sayang. Ia menekankan kepada kita agar tidak menyisihkan dan mengabaikan anak yatim terutama yang datang dari keluarga yang serba kekurangan dan tidak berkemampuan. Anak-anak ini juga memerlukan belaian dan kasih sayang serta keperluan hidup seperti makan, minum dan pakaian seperti manusia yang lain. Ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang mendatang dengan harmoni dan bahagia Masliza (2008).
Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai seorang kanak-kanak kematian bapanya samaada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka ini digelar anak yatim. Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja digelar yatim. Ini adalah kerana keperluan mereka seperti menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya adalah peranan dan tanggungjawab seorang ayah. Istilah yatim piatu tiada dalam kamus Arab dan kewujudan panggilan tersebut untuk kanak-kanak yang kematian ibu dan bapa adalah daripada kamus perbualan masyarakat melayu dahulu yang ingin menggambarkan bahawa kanak-kanak tersebut sudah tidak mempunyai orang tua. Panggilan serta kelebihan kelebihan yang diperolehi anak yatim itu adalah sampai kepada umur baligh.
Ibn Ruslan pernah berkata: Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang di ketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh digelar anak yatim lagi.Rasulullah s.a.w memberi galakan kepada umatnya dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim. Ini berdasarkan kepada beberapa potong hadis baginda yang bermaksud: Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu (riwayat Muslim). Misalan yang di sebut dan ditunjukan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga. Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar merka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna. Anak yatim adalah amanah Allah s.w.t, orang yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak yatim perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya (31 Jan 2008, Yayasan Pembangunan Nurhikmah).
RENUNGAN
: Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan di sakiti hatinya" ( Riwayat Ibnu Majah )Huraianpenghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnyadalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira. Rasuluallah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal dunia ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya pula meninggal ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang daripada ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan ketika usia baginda berumur 8 tahun.Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang agung.
Firman Allah dalam ayat6-11 surah Ad-Duha yang membawa maksud : "Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari engkau mengasari anak yatim, jangan engkau menengking orang yang meminta bantuan.Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya. Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh dan membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kia turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu, bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah Al-Ma’un yang bermaksud : "Tahukah engkau tentang orang yang mendusta agama adalah dia orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim"..
Menurut Embun (2006), menyatakan sebagai rakyat negara yang bakal mencapai status maju, semangat sukarelawan seperti ini perlu dipupuk. Dalam mencari kejayaan dalam bidang masing-masing, mereka yang berjaya tidak harus kehilangan rasa kemanusiaan hingga lupa melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu mereka yang miskin dan memerlukan pertolongan. Ketika mengejar kejayaan, kita tidak sepatutnya hilang pedoman sehingga tidak berminat membantu golongan kurang bernasib baik.Kematangan dan kemajuan masyarakat tidak diukur dengan kekayaan dan kecanggihan teknologi saja tetapi apa yang perlu diambil kira ialah sikap bertanggungjawab, layanan adil dan semangat dermawan. Hanya dengan jiwa ihsan yang tinggi boleh melahirkan naluri kemanusiaan yang subur serta amanah yang teguh dan kukuh. Inilah asas utama semangat watan yang mengasihi negara dan bangsa dalam erti kata sebenar.
Sebagai umat Islam, adalah satu kewajipan menitikberatkan hak penjagaan anak-anak yatim termasuk tempat tinggalnya. Sepatutnya mereka diberi layanan istimewa seperti yang disebut di dalam al-Quran dan hadis. Sekiranya mereka tidak diberi layanan yang sewajarnya, besar kemungkinan kita terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t. kerana mengabaikan satu golongan yang hilang tempat bergantung. `Mereka juga seperti orang lain dan memerlukan kasih sayang. Jangan pinggirkan perasaan mereka sebaliknya berikanlah layanan yang baik (Wan Akashah, Julai, 2005).